GAMBAR hiasan
Adnan Ibrahim

LELAKI berusia 29 tahun dipercayai hilang selepas mendaki bersama 35 rakan di Gunung Gua Rimau bersebelahan Gunung Berlumut dekat Kluang, semalam.

Kehilangan mangsa, Muhamad Nizam Ahmad Ansar, 29, hanya disedari jam 5 petang hari ini, selepas terpisah daripada kumpulan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akob Sedek berkata, sebelum kejadian, kumpulan pendaki itu berada di puncak gunung berkenaan, jam 1 tengah hari.

Beliau berkata, kumpulan itu yang diiringi empat orang jurupandu kemudian tiba di kaki gunung pada

jam 4.15 petang.

“Sebaik tiba di kawasan hutan di kaki gunung, Muhamad Nizam masih ada bersama kumpulan itu, namun dipercayai hilang kira-kira jam 5 petang,” katanya.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehilangan mangsa, kumpulan itu mencari lelaki terbabit tetapi gagal, sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Akob berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan bermula jam 8 pagi esok.

“Ia dijangka membabitkan polis, bomba Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Perhutanan Daerah Kluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 9:44 PM