GAMBAR hiasan
Iskandar Shah Mohamed

HANYA kerana enggan mengalihkan kon, pengawal keselamatan dicederakan lelaki menggunakan pistol di perumahan di Bukit Tinggi, Klang, semalam.

Pada kejadian 12.41 tengah malam itu, mangsa, lelaki 37 tahun itu cedera selepas ditumbuk serta dipukul dengan senjata api milik suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa bertugas di pos pengawal keselamatan taman perumahan itu.

“Suspek berusia 30-an yang juga penghuni perumahan itu meminta mangsa mengalihkan kon di depan pos pengawal itu kerana mahu masuk ke kawasan berkenaan.

“Namun, mangsa memberitahu suspek supaya menggunakan pintu belakang kerana laluan depan itu hanya dibuka sehingga jam 12 tengah malam.

“Suspek kemudian mengambil objek menyerupai pistol di dalam keretanya dan memaksa mangsa membuka laluan itu.

“Akibat masih berkeras, suspek menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan senjata api itu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, beberapa rakan suspek datang dan seorang daripada mereka turut memukul mangsa.

Shamsul Amar berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 30-an pada jam 12.30 tengah malam dan merampas sepucuk pistol jenis Glock serta 20 butir peluru.

“Siasatan lanjut mendapati seorang daripada mereka dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi dan memiliki lesen menggunakan senjata api.

“Suspek pertama yang menyerang mangsa dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 7:06 PM