ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meninjau keadaan semasa air pasang besar di perairan Klang. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


TIADA limpahan air laut berlaku di pesisir pantai Selangor hari ini ketika air pasang besar berukuran 5.4 meter pagi tadi.

Bagaimanapun, berlaku banjir kilat di Jalan Jepun, Kampung Delek, Klangberikutan hujan lebat namun ia surut tidak lama kemudian selepas kunci air dibuka.

Pada masa sama, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor melaporkan struktur ban di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik selain tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini, walaupun cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan.

Tinjauan NSTP di beberapa lokasi panas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mendapati penduduk di kawasan sekitar pantai masih menjalankan rutin biasa termasuk nelayan, pemancing serta feri penumpang berulang-alik ke Pulau Ketam seperti biasa.

Penduduk sekitar Tanjung Harapan juga kelihatan berada di gigi air sambil memancing dan beriadah.

Tinjauan dilakukan dengan menaiki bot Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Daerah Klang pada jarak 25 batu nautika dari jeti Pelabuhan Klang mengambil masa kira-kira dua jam dari sempadan Kapar ke sempadan Teluk Panglima Garang di Banting.

Antara lokasi tinjauan adalah Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin di Kapar; Jeti Nelayan Tok Muda; Jeti Nelayan Sementa; Pelabuhan Utara; Pelabuhan Selatan; Pelabuhan Barat; Jeti Teluk Gong serta Jeti Pulau Ketam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, tinjauan itu memberi tumpuan kepada lokasi panas di darat dan laut termasuk Teluk Gong, Pelabuhan Barat serta beberapa kawasan di Pulau Indah dan Pulau Ketam.

“Sehingga 12 tengah hari paras air tidak membahayakan tetapi paras tertinggi adalah 5.4 meter pada jam 6.25 pagi tadi.

“Setakat ini tidak ada apa-apa tetapi kita sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga kerana esok paras air paling tinggi iaitu 5.5 meter pada 7.06 pagi.

“Persediaan bomba pula, kami menyediakan lima bot, tiga jentera dan tiga utiliti dengan anggota seramai 67 orang dari JBPM Daerah Klang,” katanya.

Samsol Maarif berkata, situasi ini dijangka berlarutan sehingga 13 September ini apabila air pasang besar dijangka berada pada ketinggian 5.2 meter.

“Penduduk diminta berjaga-jaga dalam tempoh tiga hingga empat hari ini dan sentiasa bersiap sedia jika ada limpahan air dan hujan lebat.

“Ini kerana hujan tidak dapat keluar ke sungai atau laut kerana pintu air ditutup. Itulah punca berlakunya banjir di kawasan Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 7:25 PM