PEMBAHAGI jalan rel pengadang.
PEMBAHAGI jalan rel pengadang.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kesesuaian penggunaan pembahagi jalan jenis besi di negara ini wajar dikaji semula bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, pembahagi jalan jenis besi digunakan secara meluas terutama di jalan persekutuan.

Beliau berkata, dalam kejadian sebelum ini ada mangsa yang maut dan mengalami kecacatan akibat kenderaan mereka melanggar pembahagi jalan.

“Pembahagi jalan jenis besi umpama mata pisau yang boleh menyebabkan kenderaan merempuhnya rosak teruk.

“Ada dalam kalangan mangsa putus anggota badan dan dalam beberapa kejadian mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

PEMBAHAGI jalan konkrit.
PEMBAHAGI jalan konkrit.

Mohammad Hisham berkata, PPJK berharap agar Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian mengenai kesesuaian penggunaan pembahagi jalan jenis itu.

Terbaru, dalam kemalangan 2 September lalu, dua maut termasuk seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila sebuah bas dua tingkat dinaiki merempuh pembahagi jalan jenis besi di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah, Perak.

Menurutnya, kajian itu perlu bagi membuktikan kesesuaian pembahagi jalan jenis besi atau perlu diganti secara menyeluruh menggunakan konkrit.

“Kita faham kerana ia membabitkan kos yang tinggi, walau bagaimanapun, keselamatan pengguna jalan raya perlu diutamakan. Sebagai persatuan perlu tahu adakah pembahagi jalan ini selamat untuk digunakan,” katanya.

PEMBAHAGI jalan menggunakan kabel.
PEMBAHAGI jalan menggunakan kabel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:02 AM