KESAN cedera dialami ibu suspek. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan

HANYA kerana lambat menyediakan makanan dan enggan memberi wang, seorang lelaki tergamak memukul ibunya dengan penyapu di Kampung Pengkalan Bongor, Kepala Batas, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek berusia 35 tahun turut memukul adik lelaki yang ketika itu cuba menghalangnya daripada terus memukul ibu mereka yang berusia 65 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian, ibu mangsa mendakwa suspek yang juga anak kelima itu mengamuk dan memakinya.

Beliau berkata, suspek kemudian mengambil penyapu dan memukul kepala serta badan ibunya sebelum membaling kerusi plastik ke arah adiknya.

"Pemeriksaan doktor di Hospital Kepala Batas mendapati ibu suspek mengalami benjol di kepala, cedera belakang badan manakala adiknya yang berusia 18 tahun calar di tangan kiri," katanya.

Beliau berkata, ibu suspek yang sudah tidak tahan dengan perangainya membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Katanya, susulan itu, suspek ditahan polis.

Noorzainy berkata, suspek sebelum ini memang kerap mengamuk terutama apabila dia gagal mendapat wang dipercayai untuk membeli dadah.

"Bapa serta adik beradiknya yang lain memang tidak berani melawan kerana suspek mudah mengamuk namun kali ini mereka sudah tidak tahan dengan perangainya dan membuat laporan polis.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau kerana keasalahan dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 3:18 PM