AMINAH (berkerusi roda) bersama anaknya, Mohamad Najeb  ketika memohon sijil faraid tuntutan harta peninggalan Tan Sri Jamaluddin di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
AMINAH (berkerusi roda) bersama anaknya, Mohamad Najeb ketika memohon sijil faraid tuntutan harta peninggalan Tan Sri Jamaluddin di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Balu dan empat anak kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter tiga tahun lalu, akan mengemukakan bantahan awal untuk membatalkan permohonan dibuat ibu bekas Ahli Parlimen Rompin itu bagi mendapatkan sijil faraid berhubung pembahagian harta yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, 84, selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Menurut Kamar Ainiah, bagi permohonan itu, isteri Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 62, diwakili peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman.

Sementara itu, empat anak Jamaludin iaitu Ikhwan Hafiz, 31, Nur Anis, 33, Nurul Alyaa, 27, dan Noor Adilla, 23, pula di wakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.

Kamar Ainiah turut memaklumkan, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom dan empat anaknya untuk menjadi pencelah dalam permohonan berkenaan.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 15 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Pada 2 Mac lalu, Aminah memfailkan permohonan untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka milik anaknya mengikut Seksyen 46 (ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Antara harta yang perlu dimasukkan ke dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Makkah serta syarikat milik Jamaludin.

Aminah yang berkerusi roda hadir ke mahkamah ditemani adik lelaki Jamaludin, Mohamad Najeb Ali.

Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

Selain Jamaludin, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias antara enam orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi helikopter Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 10:36 AM