Sebahagian penyokong PH meraikan kesediaan Anwar bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Nur Aqidah Azizi

WALAUPUN kawasan Parlimen Port Dickson dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH), gerakan meraih sokongan pengundi terutama golongan muda tetap dipergiatkan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sebagai salah satu komponen PH, DAP akan memperkuatkan jentera parti bagi membantu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita lihat trend keluar mengundi pada PRK yang lalu hanya kira-kira 50 peratus sahaja. Jadi DAP bercadang menggandakan usaha berkempen bagi menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi.

“Kita juga akan memperkuatkan kempen di media sosial untuk menggalakkan penyokong DAP yang tinggal di luar Port Dickson untuk pulang mengundi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri ketika dihubungi di Seremban hari ini.

Pengosongan kerusi terbabit diumumkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, kelmarin, bagi membolehkan PH mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, DAP juga akan memberi tumpuan khas kepada golongan muda yang menjadi antara pengundi terbesar parti itu.

“Kita percaya, pengundi yang menyokong kita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, pasti tidak mahu melepaskan peluang kerana PRK ini menentukan bakal Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 3:11 PM