(Gambar fail) Danyal (tiga dari kiri) ketika berkempen di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson pada PRU-14. FOTO Adzlan Sidek
Ifwan Tun Tuah


PESARA tentera usah bimbang soal kebajikan mereka, kata bekas Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Beliau menegaskan, keputusannya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu tidak dibuat tanpa mempertimbangkan kebajikan pesara tentera.

Sebaliknya katanya, isu mengenai veteran adalah perkara utama yang difikirkannya dengan mendalam sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa sudah mempertimbangkan kebajikan pesara tentera. Seperti disahkan bakal Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya akan terus berkhidmat untuk Port Dickson selepas ini.

“Malah saya akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh kerana menyedari pengganti saya adalah bakal Perdana Menteri,” kata bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, bahawa pengosongan kerusi itu sebagai tidak mempedulikan pesara tentera yang menyokongnya sebelum ini.

Mengulas lanjut, Danyal berkata, dakwaan Mohamed Arshad bahawa pengosongan kerusi itu bakal mengundang protes pesara tentera terhadap Anwar juga tidak berasas.

“Angin perubahan di Malaysia selepas 9 Mei lalu, dengan bakal Perdana Menteri sebagai calon Ahli Parlimen dan kehadiran saya sendiri untuk terus berkhidmat di Port Dickson, akan menjadi faktor menarik sokongan pesara tentera untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap semua pihak menerima peletakan jawatan saya dan tidak membuat spekulasi yang prejudis,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Danyal berkata, selain PATRIOT, terdapat banyak organisasi lain yang turut mewakili pesara tentera termasuk Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC), Persatuan Pesara Pegawai Tentera Laut Malaysia (RMNOA), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PVTUDM).

“Saya boleh mengesahkan tidak semua organisasi mewakili pesara tentera berkongsi pandangan yang sama dengan PATRIOT.

“Selain itu, tidak tepat untuk mengatakan pesara tentera tidak diwakili di Parlimen kerana Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya dan Senator Mohamad Imran Abd Hamid, sering membangkitkan isu berkaitan kebajikan tentera dan pesara dan saya percaya mereka akan terus melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 3:46 PM