Gambar fail menunjukkan salah seorang pelacur asing WeChat yang berjaya ditahan dalam serbuan oleh pihak berkuasa.

SINDIKET pelacuran dikesan menggunakan aplikasi WeChat sebagai alternatif mempromosikan kegiatan mereka selain turut dikesan memilih hotel mewah bagi melindungi aktiviti persundalan itu.

Pelanggan boleh memilih pelacur dari pelbagai negara dengan harga serendah RM200 hingga mencecah RM500 bergantung kepada negara asal selain rupa paras serta usia.

Sebaik rundingan selesai dan pelanggan membuat pembayaran, sindiket akan mengarahkan pelanggan untuk ke hotel tertentu sebelum nombor bilik diberikan.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas sepasukan Unit Quick Responds Team, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu sebuah hotel di Persiaran Kewajipan, USJ 1, di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketika serbuan Ops Mega 3.0 dijalankan, sindiket dipercayai turut menggunakan taktik licik dengan menyewa bilik yang boleh dihubungkan dengan bilik sebelah bagi menyenangkan pekerja seks mereka melarikan diri.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya menahan 12 wanita dari pelbagai negara yang dipercayai terbabit dengan aktivti tidak bermoral.

“Ketika serbuan dijalankan sebahagian daripada mereka sedang yang sedang melayan pelanggan. Malah ada juga yang sempat melarikan diri ke bilik sebelah menggunakan pintu penghubung sebelum menyamar sebagai penginap di bilik itu selain berpura-pura tidur.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan rapi, pihak kami menemui puluhan kondom, jel pelincir seks dan wang tunai di dalam laci dipercayai bagi tujuan kegiatan pelacuran di setiap bilik yang diserbu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita yang ditahan terdiri daripada empat warga Mongolia, dua warga Indonesia, seorang dari Kazakhstan, tiga warga China, seorang warga Thailand dan seorang warga Vietnam.

Menurut beliau turut ditahan tiga penjaga hotel dan tujuh pelanggan bagi membantu siasatan dan semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Kami percaya sindiket menjalankan urus niaga melalui aplikasi Wechat sebelum temu janji dibuat di hotel yang disewa khas untuk aktiviti pelacuran selain hotel itu turut menempatkan wanita berkenaan sementara menunggu pelanggan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 5:46 PM