AHMAD Asyraf dibawa ke Hospital Selayang sejurus tiba di Pangkalan Udara Subang dari Tawau, semalam. FOTO Ihsan TUDM
Safeek Affendy Razali


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa pesakit kegagalan hati dan kandungan gula yang tinggi dalam darah dari Hospital Tawau ke Pangkalan Udara (PU) Subang, Subang, semalam.

Pesakit terbabit Ahmad Asyraf Zubir, 28, diterbangkan dari Tawau dengan pesawat A400M dari No 22 Skuadron untuk membolehkannya mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

TUDM dalam kenyataan media memaklumkan pesawat membawa Ahmad Asyraf berlepas dari Lapangan Terbang Tawau jam 4.20 petang dan selamat mendarat di PU Subang jam 7.19 malam tadi.

Pesawat berkenaan dikendalikan juruterbang Leftenan Kolonel Baharin Mohamad dengan dibantu Kapten Ikmal serta empat kru dari No 22 Skuadron.

Sejurus tiba di PU Subang, Ahmad Asyraf dikejarkan ke Hospital Selayang menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Turut mengiringi Ahmad Asyraf dalam penerbangan itu ialah adiknya Ahmad Qhaliss, Dr Cheah Phee Kheng, Dr Mohd Yaakub Ariffin, Dr Tham Pei Wen dan Pembantu Perubatan Adizul Lanis yang juga adalah petugas perubatan dari Hospital Tawau.

“Seluruh warga TUDM mendoakan supaya Ahmad Asyraf diberikan kesembuhan seperi sediakala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 12:11 AM