PENGERUSI MAHAR, Jismi Johari (kanan) menyerahkan sumbangan motosikal roda tiga kepada Sulaiman.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kaji selidik selama enam bulan dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengesahkan dua beranak yang tinggal di pondok usang di ladang getah Gual Mesa, Rantau Panjang benar-benar daif.

Ketua Perhubungan Media MAHAR Mohd Sufian Said berkata, kajian ke atas latar belakang Sulaiman Yassin, 53, dan ibunya Eshah Mat, 77, dijalankan sejak Mac lalu selepas pihaknya mengetahui kesempitan hidup dilalui dua beranak berkenaan.

Katanya, kali pertama pihaknya menemui dua beranak itu ketika mereka menjaja di Pasar Besar Siti Khadijah.

“Ketika kunjungan ke pondok didiami Sulaiman dan ibunya, kami dapati mereka benar-benar susah dan tidak jauh dari pondok itu, ada tiang yang dinaikkan untuk membina rumah di tanah milik Eshah.

“Sulaiman memberitahu tiang dinaikkan itu adalah tapak untuk membina rumah mereka namun terpaksa ditangguhkan sejak tujuh tahun lalu kerana kekangan kewangan selepas simpanan mereka dirompak.

“Ini menunjukkan keluarga berkenaan bukan golongan yang meminta-minta, malah gigih berusaha mencari rezeki demi meneruskan kehidupan,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Sufian, selepas berpuas hati dengan kaji selidik mengenai dua beranak itu, pihaknya membuat kertas kerja memulakan inisiatif mencari sumbangan awam bagi membantu meringankan beban hidup mereka.

“Justeru, kempen RM10 Untuk Ibu Eshah dilancarkan selama dua bulan bermula Jun hingga Ogos lalu untuk meminta sumbangan orang ramai.

“Alhamdulillah, pada awal bulan ini sumbangan orang ramai melalui kempen itu mencukupi dan kami menyumbang motosikal roda tiga untuk kemudahan Sulaiman dan ibunya berulang-alik,” katanya.

Mohd Sufian memohon orang ramai berhenti mengecam atau berfikiran negatif terhadap dua beranak itu.

“Bagi sesiapa yang sudi menghulur bantuan untuk meringankan beban hidup mereka, ia amat dialu-alukan dan jika tidak mahu, tidak perlu mengecam keluarga ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 5:44 AM