DR Azman (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri Terengganu, Zawawi Ali (tiga dari kiri) melabuhkan unjam di perairan Paka, Dungun. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“KAMI harap nelayan bot pukat tunda faham dan kasihanilah nelayan kecil seperti kami,” rayu nelayan pantai, Zakaria Embong, 59, yang berharap agar bot pukat tunda tidak merosakkan unjam menjadi tempat mereka mencari rezeki di kawasan perairan sekitar Paka, Dungun.

Zakaria berkata, kebanyakan unjam diletakkan di kawasan lima batu nautika dari Kuala Paka dimusnahkan bot pukat tunda sehingga menyulitkan nelayan kecil mencari rezeki.

Katanya, sebagai wakil kepada 200 nelayan pantai di Paka, dia sangat kecewa apabila unjam dibuat sendiri nelayan terbabit dirosakkan bot pukat tunda.

“Bot pukat tunda dari luar Paka menceroboh masuk menangkap ikan biarpun mereka tahu syarat lesen mereka perlu keluar melebihi 15 batu nautika.

“Bila masuk memukat berdekatan pantai, mereka tak lagi peduli unjam kami. Mereka terus merosakkan unjam kami sedangkan mereka tahu perbuatan itu menutup periuk nasi kami,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu mengecewakan nelayan pantai dan tidak mahu lagi membuat unjam yang setiap satunya memerlukan kos sekitar RM200.

Namun, Zakaria berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan negeri Terengganu yang melabuhkan 40 unjam di perairan itu, minggu lalu.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan peruntukan banyak demi membantu kami golongan nelayan kecil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata sebanyak RM580,000 diperuntukkan kerajaan negeri termasuk RM330,000 bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina unjam di negeri ini.

Katanya, setakat ini perairan Marang dan Dungun telah mendapat manfaat daripada unjam dilabuhkan manakala daerah lain akan dilakukan selepas ini.

“Kami harap dengan adanya unjam, pendapatan nelayan pantai akan bertambah. Tetapi sesuatu mesti dilakukan untuk menghalang bot pukat tunda daripada menceroboh kawasan pantai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:33 AM