SHARIPAH Marlini (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Eshah dan Sulaiman di pondok mereka di Gual Mesa, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Fathil Asri.
Hazira Ahmad Zaidi


KEDAIFAN dua beranak yang menghuni pondok usang di ladang getah Gual Mesa, Rantau Panjang yang tular di media sosial mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.

Ketua Unit Kebajikan Produktif JKM Pasir Mas, Sharipah Marlini Sayeid Din, berkata pada Jumaat lalu, pihaknya bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force dan Penghulu Mukim Gual Mesa membuat lawatan di pondok didiami dua beranak itu, namun mereka tidak berada di rumah kerana keluar berniaga.

Katanya, pada hari ini, pihaknya bersama beberapa wakil kerajaan negeri dan pemimpin tempatan bersama-sama mengunjungi dua beranak itu untuk bertanya khabar dan melihat kedaifan mereka yang terpaksa tinggal di dalam pondok serba kekurangan.

“Dalam lawatan ini, JKM turut menghulurkan bantuan segera kepada Eshah Mat sebanyak RM300 serta barangan keperluan asas, pakaian dan kelengkapan solat.

“Selain itu, bermula Oktober ini, JKM sudah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM350 sebulan kepada Eshah di bawah skim Bantuan Orang Tua (BOT) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban dua beranak ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat dua beranak itu di pondok Gual Mesa, Rantau Panjang, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Wan Idris Wan Deraman dan Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Muhammad Zain Wan Jaafar.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Urusetia Kebajikan Pembangunan, Keluarga dan Wanita, Muhammad Aminuddin Bunyamin berkata, beliau akan memanjangkan perkara berkenaan dan berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Pejabat Tanah Negeri berkenaan pembinaan rumah mereka yang terbengkalai sebelum ini disebabkan kekangan kewangan.

“Saya melihat keperluan utama dua beranak ini adalah tempat tinggal selesa dan selamat untuk didiami.

“Insya-Allah, saya amat berharap agar peruntukan untuk pembinaan rumah ini dapat diluluskan dalam masa terdekat kerana mereka mempunyai tanah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman Yassin, 53, berkata, dia amat terharu dengan sokongan pelbagai pihak yang banyak membantu selepas kisah kedaifan dia bersama ibunya, Eshah, 77, tular di media sosial.

“Baru-baru ini, ada individu prihatin menawarkan rumah lebih kondusif untuk didiami saya bersama ibu dan sewa bulanannya turut ditanggung.

“Jika boleh, saya tidak mahu berpindah dan mahu tinggal dan bina rumah di tanah ladang ini.

“Bagaimanapun, sementara menunggu rumah itu dibina, kami akan tinggal di rumah sewa yang ditawarkan itu untuk sementara waktu,” katanya.

Berita berkaitan

'Memang daif'

'[UPDATE] 'Kalau tak boleh tolong, jangan hina pula...''

'Pondok usang 'mahligai' dua beranak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 4:00 PM