Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


HANYA dalam tempoh 12 jam, tiga penjenayah dikenali sebagai Geng Jajar tumpas selepas mereka dicekup polis dalam serbuan Op Pintu, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi dilakukan sebaik menerima laporan mangsa yang memaklumkan rumah mereka dipecah masuk hingga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Menurutnya, mangsa pertama peniaga berusia 47 tahun memberitahu rumahnya di Jalan Raja Uda, Butterworth dipecah masuk jam 10.50 pagi dan diikuti mangsa kedua berusia 56 tahun memaklumkan rumahnya di Ampang Jajar dimasuki penjenayah jam 11.15 pagi.

“Susulan daripada dua laporan itu, polis menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki bersama rakannya dalam keadaan mencurigakan tidak jauh dari rumah mangsa kedua, namun suspek meloloskan diri dengan memecut laju keretanya.

“Bagaimanapun, polis dapat menjejaki keberadaan suspek dan mengekori mereka sehingga ke sungai berhampiran di mana kedua-dua suspek bertindak terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri sekali lagi, namun tidak berhasil, ” katanya pada sidang media, hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan ke atas suspek berusia 22 dan 24 tahun itu membawa kepada penahanan suspek lain berusia 19 tahun dalam serbuan di sebuah rumah dekat Wisma Telaga Air, Butterworth, jam 11 malam semalam.

“Suspek ketiga yang ditahan itu adalah pembeli barangan yang disamun suspek di mana ketiga-tiga mereka ini aktif menjalankan kegiatan terbabit kira-kira tiga bulan lalu.

“Ketiga-tiga mereka juga mempunyai rekod jenayah dalam kes curi, samun dan pecah rumah termasuk dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, dalam operasi itu, polis merampas kesemua barangan yang disamun suspek dianggarkan bernilai RM44,000.

Menurutnya, penahanan ketiga-tiga suspek itu menyelesaikan kira-kira tujuh kes pecah rumah di daerah berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 5:00 PM
NOORZAINY (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Jajar semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal