GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


SEORANG gadis ditahan selepas melarikan wang milik majikannya berjumlah RM32,750 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bundusan, Penampang, Sabtu lalu.

Difahamkan, gadis berusia 17 tahun menemani majikannya ke sebuah bank di Kompleks Sinsuran, Penampang untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun lelaki itu pada 14 September lalu.

Ketika itu, majikan berkenaan yang juga warga China meletakkan wang terbabit dalam beg kepunyaan pekerja wanitanya terbabit.

Ketika dalam perjalanan menuju ke bank berkenaan, majikannya menyedari gadis terbabit tiada bersamanya.

Majikan itu cuba menghubungi nombor telefon gadis terbabit yang dipercayai melarikan wang berkenaan, namun gagal lalu membuat laporan polis.

Gadis itu bekerja sebagai pembantu kedai dengan majikan terbabit hampir tiga bulan lalu dan tidak pernah menimbulkan masalah.


KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. FOTO Arkib NSTP

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan laporan polis, suspek dicekup di sebuah rumah di Jalan Bundusan, Penampang jam 5.30 petang, Sabtu lalu.

“Polis turut merampas sejumlah wang disyaki milik majikannya. Siasatan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 5:56 PM