X
Wartawan NSTP

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak dakwaan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki yang ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Azam juga tidak menafikan bahawa lebih ramai individu akan didakwa atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa pihaknya ada memanggil Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk membantu siasatan.

“Akan ada lebih banyak lagi pendakwaan berhubung siasatan ini (1MDB) dan kami akan bekerjasama erat dengan pihak polis.

“Kita akan memberi fokus untuk mengesan wang dan aset milik 1MDB di luar negara. Ini adalah satu detik bersejarah apabila pihak polis dan SPRM bergabung tenaga dalam siasatan 1MDB, SPRM ," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:19 PM