Caption<
Noor Hidayah Tanzizi


PASUKAN Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan kenyataan pelakon Hairul Azreen yang membintangi filem PASKAL selepas mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem itu di kawasan Semporna.

Panglima PASKAL TLDM Laksamana Pertama Anuar Alias berkata, tiada sebarang ancaman atau ganggu gugat sepanjang pengambaran filem itu dijalankan di lokasi berkenaan.

Katanya, keselamatan pelakon dan kru sepanjang penggambaran adalah di bawah tanggungjawab pihaknya dan mereka sentiasa di bawah kawalan PASKAL.


Caption

“Saya nafikan perkara itu, tiada sebarang ancaman terhadap mereka (ketika itu) dan mereka (pelakon dan kru pengambaran) selamat dan sentiasa dalam kawalan kami sepanjang masa, malah Komander ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Yang keluar itu (berita membabitkan dakwaan hampir diculik) hanya khabar angin atau ada pihak yang senjaga mengadakan cerita untuk cari glamor,” katanya selepas tayangan filem itu di TGV Aeon Manjung, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Hairul Azreen bahawa dia dan pelakon Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.

Hairul Azreen dipetik berkata, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar yang masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun itu mahu menjadikan mereka sasaran penculikan.

ESSCOM sebelum ini menyifatkan kenyataan pelakon itu adalah sebagai tidak berasas kerana sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta kru disertai oleh pasukan keselamatan terlatih serta anggota PASKAL.

Anuar berkata, bagaimanapun pihaknya berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan dan berharap orang ramai menyokong filem berkenaan serta melihat kejayaan misi yang dilaksanakan dan tugas pasukan elit TLDM itu.

“Dengan misi yang berjaya dilaksanakan, PASKAL sentiasa bersiap sedia untuk menyelamat,” katanya yang turut mengakui dakwaan yang dikeluarkan pelakon itu juga boleh menjejaskan industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, seramai hampir 1,000 penonton mengegarkan panggung menyaksi tayangan filem itu anjuran Persatuan Veteran PASKAL TLDM dan turut hadir menonton dan memberi sokongan ialah Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Persatuan Veteran PASKAL Datuk Nasaruddin Othman.

Dalam pada itu, Anuar berkata, sebahagian hasil kutipan tiket filem itu pada hari ini disalurkan kepada tabung Persatuan Veteran PASKAL.

Berita berkaitan

Kerana Hairul, Taufik pun kena tempias

ESSCOM hantar surat kepada Hairul

'Kan dah kena panggil...'

Tak berasas... jangan buat publisiti murahan - ESSCOM

'Lanun nak culik kami berdua!'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 7:27 PM