Caption<DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas daripada dua lelaki di Kampung Masjid Tawar, Baling, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Safuri Kamarudin


CUBAAN dua tokan dadah meloloskan diri selepas rumah mereka di Kampung Masjid Tawar, Baling diserbu polis gagal apabila ditahan bersama dadah heroin dan syabu bernilai RM3,583, hari ini.

Dalam serbuan pada 12.15 tengah hari, suspek lelaki berusia 30 dan 31 tahun ketika cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bersama anggota Balai Polis Tawar dan Kupang.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, suspek dipercayai pengedar dadah kerana membekal dadah kepada penagih, malah kedua-duanya juga positif dadah selepas saringan ujian air kencing.

Katanya, polis turut merampas 51 peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki heroin seberat 136 gram bernilai RM3,400 dan tiga peket lutsinar disyaki syabu seberat 2.62 gram bernilai RM183 yang ditemui di lantai ruang tamu.

“Siasatan mendapati mereka menggunakan rumah itu sebagai tempat menunggu penagih datang untuk membeli dadah setiap hari.

“Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 2:49 PM