MOHD Zambri dan Dzul Azam   dibawa keluar  Mahkamah Sesyen, semalam.
MOHD Zambri dan Dzul Azam dibawa keluar Mahkamah Sesyen, semalam.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Ketua Inspektor Penjara Pengkalan Chepa dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah RM3,000 daripada seorang banduan, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Zambri Abdullah, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM15,000 terhadap Lans Koperal Dzul Azam Nani, 34, yang turut bertugas di Penjara Pengkalan Chepa terhadap kesalahan sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula semalam.

Ahmad Bazli bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan jaminan setiap tertuduh dinaikkan sebanyak RM4,000.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zambri didakwa memperoleh suapan RM3,000 daripada Mohd Fakhrul Akashah Mat sebagai dorongan tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap Wan Muhammad Azlan Wan Mahmood yang berada di dalam penjara ketika itu kerana positif dadah ketika ujian saringan air kencing di Kuarters Penjara Pengkalan Chepa pada jam 10.15 malam, 20 Disember 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada nilai suapan atau nilai suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Shahruddin Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:04 AM