Junaidi Ladjana


“SELEPAS abang saya berhijrah ke Semenanjung pada 2010 lalu, sehingga hari ini tiada khabar berita.”

Itu kata Siti Normalah Kama, 30, yang mencari abangnya, Jiprin Kama, 37, selepas lelaki itu dikatakan berhijrah ke Semenanjung Malaysia dari Kampung Sinasak Batu, Pitas, untuk mencari pekerjaan.

Siti Normalah berkata, sebelum itu bapanya tidak membenarkan Jiprin berhijrah, namun dia tetap pergi.

“Sejak dari itu, tiada sebarang khabar berita mengenainya (abang). Apa yang kami risau, tahun lalu rakan kakak saya ada memberitahu melihat abang saya berjalan-jalan dalam keadaan tidak terurus di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan maklumat itu, dua lagi abang saya kemudian cuba menjejaknya, namun gagal,” katanya ketika ditemui di Pejabat NSTP cawangan Sabah, hari ini.

Menurutnya, dia berharap agar abangnya dapat ditemui dengan segera disebabkan bapa mereka berusia 80 tahun kini sakit kerana terlalu merinduinya.

“Saya cuba menghubungi tempat kerjanya berdasarkan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dihantar ke rumah di kampung, namun majikannya memberitahu abang saya sudah berhenti kerja dua tahun yang lalu.

“Orang ramai yang mengenali atau melihat Jiprin diminta menghubunginya di talian 012-8689022 atau Noor Aisha Kama, 30, di talian 016-8157515,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:39 PM
SITI Normalah Kama, 30, menunjukkan dua keping gambar abangnya serta minta orang ramai meghubunginya sekiranya terjumpa lelaki itu. FOTO Izhari Ariffin