Audrey Dermawan
audreymd@nstp.com.my


SEORANG wanita maut, manakala anak lelakinya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai lemas di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Macalister, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian pada 2 petang, mayat mangsa berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di sebelah anaknya berusia 10 tahun di atas katil dalam bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata, dua beranak itu direkodkan mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 11 malam semalam.

“Mangsa yang berasal dari Air Itam, Georgetown dikatakan memandu sendiri ke hotel berkenaan dan dijadual mendaftar keluar pada 12 tengah hari tadi. Bagaimanapun, dia gagal berbuat demikian selepas jam 2 petang.

“Kakitangan hotel kemudian membuat pemeriksaan di bilik mangsa dan mendapati pintu terkunci dari dalam. Mangsa dikatakan tidak memberi sebarang maklum balas ketika kakitangan mengetuk pintu bilik.

“Mereka kemudian memecahkan pintu bilik dan menemui dua beranak terbabit terbaring di atas katil dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dua beranak itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.

“Siasatan awal mendapati terdapat sisa arang dibakar di dalam bilik mangsa, selain terdapat bau asap di ruang berkenaan. Tiada kesan luka ditemui di anggota badan kedua-dua mangsa.

“Daripada kesan arang yang ditemui, kita percaya kemungkinan mangsa membakar sejenis dadah dalam dos berlebihan.

“Bagaimanapun, kesahihannya akan ditentukan melalui ujian kimia dan proses bedah siasat ke atas mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:41 PM
ANGGOTA polis mangangkat mayat mangsa yang ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Jalan Macalister, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong