NOR Maziah memapah suaminya yang menghidap sakit buat pinggang kronik.
HM Digital

Kota Bharu: Setiap suami pasti mengimpikan isteri yang bukan saja setia, malah mampu menjaga serta memberi semangat kepada mereka ketika berdepan waktu sukar atau ditimpa musibah.

Mohd Rosni Kamaludin, 33, bertuah kerana walaupun lumpuh dan hilang deria penglihatan selepas menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak dua tahun lalu, isterinya, Nor Maziah Mustapha, 29, tetap berada di sisinya.

Menurutnya, dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada penghujung 2016 disebabkan tekanan darah tinggi sehingga sesak nafas.

Katanya, dia terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Sebelum sakit, saya bekerja sebagai tukang rumah untuk menyara isteri dan anak tunggal kami, Mohd Amri, 7, yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim.

“Dengan pendapatan RM1,000 sebulan, ia cukup-cukup untuk menyara kami sekeluarga, namun kini tanggungjawab ketua keluarga terpaksa digalas isteri selepas saya sakit dan tidak mampu bekerja.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada isteri untuk bergerak menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Landak di sini, semalam.

Sementara itu, Nor Maziah berkata, pada awal tahun ini suaminya sudah tidak dapat melihat, selain hilang upaya untuk berjalan.

“Dia perlu menjalani dialisis di Pusat Dialisis NKF di Jalan Sri Cemerlang, kos rawatan dibiayai sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Setiap kali suami menjalani rawatan, saya perlu membahagikan masa untuk bekerja dan menghantarnya ke pusat rawatan dengan motosikal

“Walaupun suami mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, saya terpaksa berjimat untuk perbelanjaan harian, persekolahan anak serta bayaran bulanan sewa rumah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 0301141000069305 atas nama Mohd Rosni Kamaludin atau boleh menghubungi Nor Maziah Mustapha di talian 014-2141263.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:44 AM