LAPORAN NSTP, sebelum ini.
Muhammad Yusri Muzamir

POLIS mengesahkan suspek kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dihumban ke dalam tangki najis baru-baru ini, tidak mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ia susulan nama suspek tidak didaftarkan di mana-mana pusat psikiatri atau hospital mental.

“Setakat ini, suspek positif ketagihan petrol sahaja yang menyebabkan dia khayal dan berhalusinasi. Dia akan berkelakuan seperti individu normal apabila tidak berada di bawah pengaruh petrol.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dan tidak hanya bergantung kepada pengakuan suspek. Kita masih mengumpulkan bukti kes ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan permohonan reman tambahan, sekiranya siasatan kes ini tidak dapat diselesaikan sehingga Selasa depan," katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Balik Pulau, membenarkan lelaki berusia 29 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan.

Ia bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibunya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan di hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya di Jalan Air Putih di Balik Pulau, jam 8.45 pagi, Selasa lalu.

Siasatan awal mendapati, suspek yang juga anak bongsu kepada mangsa mengaku menusuk pisau pemotong sayur pada bahagian leher, sebelum mengelar leher mangsa.

Ia selepas kedua-dua mereka bertengkar di dapur kediamannya, pada 19 September lalu.

Suspek dikatakan mengaku menolak simen tangki kumbahan serta meletakkan mangsa ke dalam ruangan berkenaan.

Mayat mangsa kemudian ditemui Ahad lalu, selepas mangsa dilaporkan hilang hampir seminggu.

Berita berkaitan

Suspek bunuh ibu, buang ke tangki najis direman [METROTV]

[UPDATE] Tusuk pisau ke leher ibu

'Bunuh, humban ibu dalam tangki najis' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 1:02 PM