Caption<ANWAR bersama penyokongnya ketika berarak masuk ke dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini. FOTO Aswadi Alias
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengerusinya Azhar Azizan @ Harun berkata, pihaknya ada menerima surat bantahan, namun memutuskan Anwar layak bertanding dalam PRK kali ini seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Bantahan itu berteraskan kepada isu pengampunan Anwar yang mana ia tidak mahu membenarkan beliau menjadi calon.

“Bagaimanapun, kita benarkan Anwar bertanding kerana beliau menerima pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Port Dickson, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Tan Sri Othman Mahmood dan Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Khairy Maamor.

Sebelum ini, seorang pengundi berdaftar Port Dickson mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Noraziah Mohd Shariff, 38, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu pada 8 malam semalam melalui sistem pendaftaran e-filing.

Anwar yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 oleh Mahkamah Rayuan, dibebaskan dari penjara dan mendapat pengampunan penuh pada 16 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 12:58 PM