PERWAKILAN Puteri UMNO mengenakan lilitan kepala 'UMNO Sebuah Perjuangan' ketika persidangan Pergerakan Puteri UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2018. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan


PUTERI UMNO diminta mengikis sikap manja sebaliknya membina daya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai sebuah parti pembangkang.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ahli sayap parti itu perlu menerima hakikat mereka bukan lagi kerajaan dan mengubah corak pemikiran untuk bekerja sebagai pembangkang.

Katanya, mereka juga tidak perlu lagi membanting tulang menawarkan khidmat kepada rakyat kerana tugas itu sudah berpindah kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan pada ketika ini.

"Kita mesti bergerak sebagai pembangkang dan membina corak pemikiran sebagai pembangkang, tak perlu kita pula bersungguh-sungguh tawarkan khidmat kerana itu kerja kerajaan, bukan kerja pembangkang.

"Banyak khidmat yang kita buat dulu, sudah jadi tanggungjawab kerajaan sekarang.

"Manfaatkan kuasa jari-jemari kita untuk menyerang dan mengkritik dasar kerajaan hari ini yang merugikan orang Melayu, wanita mua dan Bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Lokman Noor Adam dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Zahida berkata, UMNO perlu berubah dengan memastikan parti keramat Melayu itu memberi fokus bagi melahirkan lebih ramai pejuang berbanding ikon.

"Dulu kita pernah mengambil ikon yang terdiri daripada artis untuk menyertai Puteri, tapi tidak ramai yang bertahan kerana mereka bukan pejuang.

"Ikon bila diuji dia lari, tetapi pejuang akan tetap di sini bersama kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 9:36 PM