Ibu Pejabat PTPTN di Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan membebankan peminjam khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan baharu memulakan pekerjaan sesudah bergraduasi.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya sudah menemui mekanisme baru ke arah merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menangguhkan pembayaran semula PTPTN sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.

"Sudah ada cadangan yang dirangka oleh PTPTN dan kali terakhir kami membentangkannya pada Rabu lalu di hadapan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik).

"Bagaimanapun cadangan itu masih di peringkat perbincangan antara PTPTN bersama Dr Maszlee dan ia bakal membabitkan dua kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi," katanya, malam tadi.

Wan Saiful berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pertubuhan Pakatan Aktivis Bersatu Prihatin Rakyat Perlis malam tadi di Kampung Tasik, Beseri di Padang Besar.

Beliau berkata, antara inti pati yang diterapkan dalam mekanisme itu ialah menggalakkan pembabitan sektor swasta dan kerajaan dalam membantu peminjam.

"Mungkin antara tiga ke empat minggu lagi perkara ini akan dibawa ke dua kementerian terbabit bagi mendapatkan pandangan penuh sebelum ia dibawa ke mesyuarat jemaah menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 9:29 AM