GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


GURU Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, Batu Pahat, Kerk Kian Sin meninggal dunia selepas rebah ketika perhimpunan pagi di sekolah itu, 7.30 pagi hari ini.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Kuo Wei Ching, berkata mangsa sedang menyampaikan ucapan ketika kejadian sebelum tiba-tiba rebah di pentas perhimpunan.

Katanya, mangsa yang berusia 55 tahun itu sempat berucap selama 15 minit dan hampir menghabiskan ucapan mingguannya itu di hadapan 908 murid.

“Selepas dia rebah, seorang guru Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cuba memberi bantuan segera, namun tidak berjaya dan kami terus membawanya ke Klinik Kesihatan Yong Peng.

“Sebaik tiba di klinik, doktor mencuba untuk menyelamatkannya, tetapi gagal dan dia disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim mengesahkan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 6:28 PM