WANITA warga asing dijumpai bersembunyi dalam kabinet bawah sinki ketika pemeriksaan anggota imigresen di premis pusat refleksologi dalam Ops Mega 3.0 di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, malam tadi. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee


TINDAKAN dua wanita tukang urut bersembunyi di dalam kabinet gagal apabila anggota imigresen yang melakukan pemeriksaan di premis refleksologi Taman Pekan Baru, Sungai Petani malam tadi, dapat mengesan mereka.

Wanita warga Thai dan Indonesia itu antara 12 tukang urut berusia 20 hingga 40 tahun yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah di dua premis berasingan di Sungai Petani dan Alor Setar.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, dalam Op Mega 3.0 bermula 7 malam itu, pihaknya turut menahan tukang urut warga Filipina dan seorang pelanggan lelaki warga Vietnam.

“Ketika pemeriksaan di premis di Sungai Petani, kita mengesan dua wanita bersembunyi di dalam kabinet sinki bagi mengelak ditahan, manakala dua lagi tukang urut sedang leka mengurut pelanggan.

“Serbuan di premis di Alor Setar pula dilakukan ketika semua pekerja warga asing sedang mengurut pelanggan dan mereka semua didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, pelanggan lelaki yang ditahan pula didapati melakukan kesalahan menetap lebih masa di negara ini.

Zuhair berkata, kedua-dua premis terbabit juga disyaki menawarkan perkhidmatan seks termasuk urutan ‘body to body’ (B2B) melalui aplikasi WeChat kepada pelanggannya.

“Kita turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis kerana kesalahan menggaji warga asing yang melakukan kesalahan.

“Kesemua warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua lelaki warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Semua warga asing kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:07 AM