PENDUDUK membawa barangan selepas gempa bumi melanda Palu, Sulawesi. FOTO Reuters
BERNAMA

MALAYSIA akan menyumbang RM500,000 untuk mangsa gempa bumi bermagnitud 7.5 dan tsunami yang berlaku di Palu, Sulawesi, Jumaat lalu yang menyebabkan lebih 800 orang terbunuh dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau berbual dengan Timbalan Presiden Indonesia Jusuf Kalla menerusi telefon hari ini.

“Memang Indonesia sekarang terbuka menerima sumbangan dan bantuan, jadi kita akan hantar SMART Team yang tahu tentang soal mencari dan menyelamat sebab kita kena ‘race against time.’

“Kita juga akan memberikan sumbangan RM500,000 untuk menolong mereka menghadapi musibah yang baru sahaja berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Paralimpik negara ke Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini semua bantuan daripada Mercy Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) lain sedang diselaraskan dengan pihak Indonesia serta Palang Merah Indonesia (PMI) bagi memudahkan proses penghantaran.

Beliau turut mengakui akan berlaku kelewatan dalam menyerahkan bantuan kepada mangsa di Makassar, tempat kebanyakan mereka yang selamat dipindahkan.

WAN Azizah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen, Lee Seng Chow pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Sukan Para Asia Indonesia 2018. Turut hadir, Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua kiri) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri). FOTO Asyraf Hamzah

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yakin kontinjen negara ke Sukan Para Asia 2018 mampu membawa pulang lebih banyak pingat emas berbanding pencapaian di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Malah beliau juga yakin atlet luar biasa dapat bangkit bersama mengangkat martabat sukan negara ke peringkat yang lebih cemerlang.

“Jika empat tahun lalu di Incheon Korea Selatan, kontinjen Para kita telah berjaya membawa pulang 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa, dan menduduki ranking ketujuh secara keseluruhan, saya percaya tahun 2018 ini kontinjen negara akan mampu membawa pulang lebih banyak kilauan pingat emas buat negara.

“Keyakinan ini berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh semua pihak sama ada pihak para atlet sendiri, jurulatih mahupun persatuan-persatuan sukan,” katanya.

Beliau juga berharap atlet-atlet muda yang sedang meningkat naik mampu menyinar dan membanggakan kontinjen negara sekaligus melonjak kedudukan pungutan pingat ke ranking yang lebih baik.

“Setiap daripada kita tentunya mahu Negaraku berkumandang di setiap venue. Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna, insya-Allah, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 8:43 PM