MAYAT mangsa selepas terbabit dalam kemalangan apabila motosikal Honda EX5 yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Bunut Susu-Tendong, Pasir Mas dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Attirmidzie Rahman


DUA pelajar sekolah maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan kereta di Jalan Bunut Susu-Tendong, Pasir Mas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, mangsa Aiman Mustakim Ali, 14 dan Muhammad Aminsyahril Ezzry Ibrahim, 14 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, dalam kejadian 9.20 malam itu, kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu itu menaiki motosikal jenis Honda Ex-5 dipercayai bertembung dengan Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati penunggang dan pembonceng motosikal datang dari arah Tendong menuju ke Bunut Susu.

“Kita percaya sama ada kereta atau motosikal terbabit hilang kawalan sehingga menyebabkan terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu penunggang dan pembonceng terbabit tercampak ke atas jalan...kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala.

“Mayat dihantar ke Hospital Lati untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 9:22 AM