ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di bengkel membaiki kenderaan menyebabkan 30 kenderaan hangus di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di bengkel membaiki kenderaan menyebabkan 30 kenderaan hangus di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEBANYAK 30 kereta musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel membaiki kereta di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Kejadian pada 3.30 petang yang menyebabkan kawasan bengkel berkenaan seluas 42.6 meter x 67 meter musnah itu turut menyebabkan beberapa bunyi letupan.

Ketua Bomba Zon 1 Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Azmi Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.40 petang.

“Susulan itu dua tanker, tujuh jentera dan 34 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 3.52 petang, kami dapati api sedang marak dan pelbagai kenderaan termasuk pacuan empat roda, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta musnah dijilat api.

“Kami mengarahkan semua pekerja di bengkel berkenaan keluar dari lokasi kerana kebakaran turut menyebabkan pencemaran akibat pembakaran bahan kimia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, usaha memadamkan kebakaran agak sukar kerana membabitkan kenderaan serta tayar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Usaha media menemu bual pemilik bengkel tidak berhasil kerana mangsa enggan ditemubual, malah turut menghalang pekerjanya ditemu bual media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:22 PM
Digital NSTP Subscribe