DR Mahathir menjawab soalan dilontarkan hos, Zeinab pada program temubual HARDtalk di BBC, London.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem pentadbiran Malaysia disalahgunakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan kuasanya untuk merompak negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sistem itu mungkin sama tetapi pemimpin itu berbeza, sistem berkenaan digunakan oleh lima perdana menteri sebelum ini dan tiada pertuduhan rasuah berskala itu terhadap semua empat pemimpin tersebut.

“Tetapi sistem itu disalahgunakan. Apa yang dilakukannya ialah menggunakan kuasa untuk mencuri wang,” kata Dr Mahathir pada program ‘Hardtalk BBC’ semasa wawancara di London, United Kingdom. Program selama 20 minit itu disiarkan semalam.

Bercakap kepada peneraju program berkenaan, Zeinab Badawi, Dr Mahathir berkata, terserah kepada mahkamah untuk memutuskan pertuduhan terhadap Najib.

Najib berdepan 21 pertuduhan, dengan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion membabitkkan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Pada Ogos lalu, Najib menghadapi empat pertuduhan berkaitan salahguna kuasa dan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terbabit.

“Kini cukup bagi kami mengenakan pertuduhan terhadap beliau dan terpulang kepada mahkamah menentukan sama ada bukti kami betul atau penafiannya betul,” kata Dr Mahathir.

Semasa wawancara itu, Zeinab mengajukan beberapa soalan berat mengenai keputusannya kembali memegang jawatan perdana menteri dan bekerja dengan parti pembangkang ketika itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas dan hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan afirmatif, memerangi rasuah dan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berada di United Kingdom untuk lawatan kerja siri kedua daripada 29 September hingga 1 Oktober selepas menghadiri sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata, kerugian berbilion ringgit semasa kali pertama beliau memegang jawatan perdana menteri, adalah disebabkan perdagangan mata wang asing pada masa itu.

“Pada masa itu, mereka tidak membuktikan saya mengambil sebarang wang, tetapi kami kehilangan wang kerana beberapa orang kita terbabit dengan perdagangan mata wang dan mereka mengalami kerugian,” katanya.

Kepada soalan yang beliau membawa masuk ‘pemimpin lama’ dalam pentadbirannya, perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata, beliau memerlukan mereka yang berpengalaman bagi membantunya mentadbir negara.

“...jadi, jika saya tidak dapat membawa masuk mereka yang pernah berkhidmat dengan saya, maka saya harus bergantung kepada mereka yang tiada pengalaman. Mereka yang bekerja dengan saya, mereka ini mempunyai pendapat yang sama tentang kerajaan Najib.

“Jadi, mereka mahu bergabung, membentuk pakatan dan menumbangkan Najib,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Anwar, Dr Mahathir berkata, mereka berdua sudah melupakan masa lalu.

“Saya perlu bekerjasama dengan beliau (Anwar) untuk menumbangkan Najib sebagai perdana menteri, jadi kami berdua memutuskan untuk melupakan masa lalu kerana perkara itu jauh lebih penting untuk diberikan tumpuan dan tidak lebih dari itu,” katanya.

Dr Mahathir turut mengulangi janji bahawa Anwar akan menjadi penggantinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 10:51 AM