PASUKAN Polis Marin menahan tiga lelaki kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri di perairan Pulau Baik, Lahad Datu. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh


TINDAKAN seorang juragan cuba menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Baik, Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia 34 hingga 37 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke perairan negara.

Pegawai Pemerintah PPM Lahad Datu, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika kejadian pihaknya mengesan bot pam dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan itu.

“Bot ronda PPM kemudian memintas bot pam itu untuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati terdapat seorang juragan dan dua penumpang bersamanya.

“Hasil pemeriksaan lanjut, semua individu itu adalah warga Filipina dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan kita percaya mereka dalam perjalanan dari Filipina serta cuba masuk ke Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, pihaknya menahan tiga PATI itu sebelum dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas ialah bot pam, enjin bot dan wang tunai 100 mata wang Peso. Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 11:36 AM