Calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Ibrahim selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama anggota PUSASDA di Masjid Depot RAMD, Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my

FAKTOR anak tempatan yang pernah berkhidmat untuk rakyat bukan jaminan calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Tan Sri Mohd Isa Samad, dapat memenangi hati pengundi.

Meramalkan Mohd Isa tewas, ahli politik veteran, Datuk Ibrahim Ali menegaskan tidak berniat merendah-rendahkan kemampuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bermula 1982 sehingga 2004 itu.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ia adalah pandangannya sebagai individu berpengalaman dalam landskap politik negara dan pernah bertanding sebagai calon Bebas.

“Pengalaman saya di Pasir Mas cukup untuk beri panduan. Saya jaga kawasan Pasir Mas ibarat menatang minyak dalam dulang dan semua orang tahu betapa rapatnya saya dengan rakyat.

“Tapi bila saya bertanding Bebas, saya tak menang. Rakyat tak pandai undi kalau calon tiada parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Depoh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Port Dickson, hari ini.

Ibrahim pernah kembali menyertai UMNO selepas meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Beliau kemudian sekali lagi meninggalkan UMNO sebelum bertanding sebagai calon Bebas.

Ibrahim yang juga Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) ditubuhkan Ogos lalu selepas meninggalkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), pernah memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS pada 2008.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas tetapi kalah teruk sehingga hilang deposit.

Beliau hanya memperoleh 5,800 undi berbanding calon PAS, Ahmad Fadli yang mendapat 28,080 undi dan calon BN, Nor Azmawi Ab Rahman (15,005 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 6:29 PM