Veena Babulal dan Siti Nur Mas Erah Amran

LAMAN sesawang Wikileaks hari ini menafikan ada menerbitkan butiran berhubung akaun bank milik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa Setiausaha Gerakan, Datuk Liang Teck Meng.

Menerusi akaun Twitter @WikiLeaks, laman itu mengakui ada menerbitkan maklumat penting berhubung ahli politik berkenaan tetapi tidak menyiarkan sebarang butiran akaun bank milik Anwar.

“Wikileaks menerbitkan maklumat berhubung ahli politik Malaysia tetapi bukan akaun bank Encik Ibrahim. (link: https://wikileaks.org/plusd) wikileaks.org/plus.)

“Dakwaan yang tular di Malaysia bahawa @WikiLeaks menyiarkan maklumat akaun bank @anwaribrahim adalah palsu. Dakwaan Liang adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan.

Memetik laporan yang dikeluarkan oleh The Coverage, Lian mendakwa Anwar memiliki banyak akaun bank yang berpangkalan di luar negara iaitu di Amerika Syarikat, Singapura, China dan Israel berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Wikileaks.

Beliau mendakwa, semua akaun yang disiarkan di Wikileaks mempunyai butiran lengkap mengenai pemilik, status, nombor pasport, jenis akaun bank, tarikh akaun dibuka dan tarikh akaun matang.

Laporan terbabit turut menyenaraikan 20 butiran akaun yang didakwa milik Anwar.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ketika dihubungi berkata, dakwaan palsu itu dibuat pada tahun 2013.

Difahamkan, parti terbabit turut akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial dalam cubaan untuk menjatuhkan Anwar yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi.

Sementara itu, Liang menegaskan tweet Wikileaks berhubung dakwaan terbabit menjawab persoalannya di sidang Dewan Rakyat, lima tahun lalu.

Katanya, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbaru berhubung isu berkenaan dan dipercayai, ada pihak yang cuba ‘menggoreng’ kembali isu lama berikutan Anwar akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi

“Saya bangkitkan isu ini lima tahun lalu di Parlimen dan kalau tak percaya, sila semak semula sesi bahas pada tahun 2013.

“Walaupun dah lapuk, saya lega kerana Wikileaks tampil membuat penjelasan walaupun sudah terlewat.

“Persoalannya, kenapa baru nak jawab semalam? Kalau jawab lima tahun lepas, semua orang senang,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 8:21 PM