LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Zahratulhayat Mat Arif

TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa supaya menghormati Sultan sebagai ketua agama mengenai keputusannya berkenaan penguatkuasaan khalwat.

“Dr Mujahid seharusnya menghormati Sultan sebagai ketua agama negeri kerana urusan penguatkuasaan undang undang syariah adalah kuasa negeri dan setiap negeri mempunyai tatacara jenayah sendiri.

“Ini termasuk di dalam perkara membabitkan amar makruf nahi munkar (mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran) dan menjadi kewajipan pemerintah menjalankan amar makruf nahi munkar ini,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Zamri berkata, asalnya tajassus ataupun mengintip itu tidak dibenarkan tetapi ulama sudah membuat pengecualian bagi beberapa perkara.

“Ini termasuk membabitkan isu nyawa dan maruah, apabila ada sangkaan yang kuat mengenainya seperti terkandung dalam kitab-kitab Raudhah al Talibin, Nihayah al Muhtaj, Al Ahkam Al Sultaniah, Ulumiddin dan lain-lain dan ia juga termasuk dalam kaedah Sad Al Zariah iaitu menutup pintu-pintu kemaksiatan,” katanya.

Zamri berkata, membuat penambahbaikan terhadap prosedur amat dialu-alukan, tetapi membiarkan maksiat terus berlaku adalah kecuaian pihak yang diberi tanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mujahid yang dilaporkan media dalam satu temuramah bahawa dia akan menasihati pegawai penguatkuasa untuk tidak mencampuri ruang peribadi seseorang selepas ia pernah beberapa kali dieksploitasi dan disalah guna.

Berita berkaitan

Mujahid nafi sebut henti 'ketukan pintu pada waktu malam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 11:04 AM