Farah Suhaidah Othman


UJIAN saringan air kencing terhadap pemandu treler yang merempuh sebuah kereta hingga mengakibatkan lima mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 255.1 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menjalankan saringan berkenaan selepas suspek, 41, ditemui di lokasi kejadian.

“Hasil ujian berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine sebelum ditahan untuk siasatan lanjut

“Perintah reman terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.47 pagi, lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam keadaan rentung selepas kereta Kia Forte dinaiki dirempuh treler berkenaan di lorong kanan lebuh raya terbabit.

Kemalangan itu turut membabitkan dua lagi kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Iswara, namun kedua-dua kenderaan itu selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar berkata, pemandu treler mendakwa dia cuba mengelak daripada merempuh kereta di hadapannya berikutan gagal mengawal kenderaan berat itu sebelum memasuki ke lorong kanan lebuh raya.

Katanya, susulan kejadian, treler berkenaan merempuh tiga kereta di lorong kanan, namun kereta Kia Forte dinaiki lima mangsa terhimpit di antara penghadang jalan konkrit dan treler itu sebelum kedua-dua kenderaan terbabit terbakar.

Berita berkaitan

PLUS mohon maaf

Pemandu treler pernah disaman 13 kali

[UPDATE] Lima rentung sebenarnya...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 9:12 PM