LOKASI kejadian enam anggota bomba lemas bersama seorang awam di Taman Putra Perdana Puchong. FOTO Rosdan Wahid


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menegaskan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mempunyai dua prosedur operasi standard (SOP) utama untuk dipatuhi sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, SOP pertama memfokuskan kepada kaedah SAR di permukaan air di lokasi kejadian.

Beliau berkata, SOP kedua pula berkaitan peralatan dan keselamatan PPDA yang menyelam.

“Dua SOP itu lengkap, namun boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Ketika ini, SOP berkenaan menggariskan mesti ada tujuh anggota termasuk seorang ketua ketika operasi itu.

“Kalau di laut, untuk operasi empat jam dan ke bawah, kita akan kerahkan satu pasukan sahaja.

“Dua pasukan untuk operasi empat hingga 10 jam, manakala tiga pasukan membabitkan operasi melebihi 10 jam.

“Kita juga pantau tahap keselamatan anggota, kalau tidak sihat, kita tidak akan benarkan anggota ke lokasi kejadian,” katanya menerusi program temubual Malaysia Hari Ini (MHI), di Sri Pentas, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota JBPM iaitu empat anggota PPDA Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam lemas ketika operasi SAR remaja berusia 17, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Sementara itu Azmi berkata, pihaknya akan menganjurkan program khas termasuk sesi kaunseling bertujuan untuk menaikkan moral dan semangat anggotanya susulan tragedi berkenaan.

“Moral dan komitmen anggota sudah terjejas.

“Kita akan adakan sesi kaunseling membabitkan semua PPDA di Selangor.

“Pada masa sama, kita akan rancang strategi dan mengemaskini maklumat lokasi yang menjadi tumpuan tragedi seperti itu,” katanya.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:02 AM