MOHD Yusof. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MOHD Yusof. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

GOLONGAN agamawan termasuk mufti tidak perlu meminta maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa susulan kenyataannya berkaitan operasi khalwat pada waktu malam.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, jika berbuat demikian, golongan terbabit dilihat bersetuju dalam isu berkenaan.

Beliau juga mempersoalkan hanya selepas menerima kritikan daripada beberapa mufti dan agamawan, Mujahid membuat penafian dan membela dirinya.

“Jika kami berdiam diri, masyarakat beranggapan kami bersetuju supaya tiada lagi operasi khalwat di waktu malam.

“Kalau kenyataannya disalah tafsir oleh media yang membuat laporan, maka penafian awal lebih bagus supaya tiada tuduhan terhadap mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, mufti memberi penjelasan berdasarkan ilmu agama berhubung kenyataan menteri berkenaan mengikut konteks yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Dr Mujahid hari ini menyatakan kecewa dengan tindakan agamawan tertentu yang mengkritiknya secara melulu tanpa menunggu penjelasannya berkaitan kes terbabit.

Katanya, sesetengah pihak tidak membaca transkrip penuh yang dimuat naik di Facebook, namun hanya membaca tajuk akhbar semata-mata.

Berita berkaitan

Mujahid kecewa [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:55 PM