PERALATAN mencuri yang digunakan 'Geng Alif Proton' yang dirampas. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


CURI di Johor Bahru, ubah suai di bengkel haram di Mersing sebelum menjualnya kepada pelanggan. Itu taktik dikesan Polis Johor Bahru Utara terhadap kumpulan curi kenderaan dikenali sebagai Geng Alif Proton.

Kegiatan jenayah yang mensasarkan kereta tempatan jenama Proton itu dikesan sudah aktif sejak 2016 lagi.

Namun, lapan orang ahli geng itu termasuk dalangnya kini ditahan polis dalam empat serbuan berasingan sekitar Johor Bahru dan Mersing, bermula dari 28 September lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, lapan suspek lelaki berusia antara 27 hingga 32 tahun itu ditahan bersama barang rampasan termasuk lapan kereta antaranya Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga Iswara dan Perodua Myvi.

“Polis turut merampas dua motosikal, satu rangka motosikal, tiga enjin serta peralatan mencuri kenderaan yang mana semua kenderaan ini dicuri di sekitar wilayah Iskandar Malaysia dan nombor enjinnya sudah diganggu.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini mencuri kenderaan di sekitar daerah ini dan kemudian mengubah suai di bengkel haram dekat Tenggaroh 2, Mersing. Antara mereka ada yang bekerja sebagai mekanik dan pakar membaiki kenderaan.

“Kita percaya mereka mengubah suai antara satu kereta dengan kereta lain dan turut menjual semula komponen serta alat ganti kenderaan yang dicuri,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Menurut Mohd Taib, susulan penahanan lapan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes curi kenderaan yang membabitkan geng itu.

Katanya, geng itu bukan sahaja dikesan terbabit dengan kes curi kenderaan, malah turut terbabit dalam kes curi sarang burung walit, namun masih dalam siasatan lanjut.

“Kita masih menahan reman semua suspek bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, Seksyen 29(1) akta sama serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga sedang mengesan saki-baki ahli kumpulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 5:26 PM