ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengikat tali pada jet ski yang kehabisan minyak untuk ditunda ke pantai. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengikat tali pada jet ski yang kehabisan minyak untuk ditunda ke pantai. FOTO Ihsan APM
Hamzah Osman


OPERATOR sukan air berdepan detik cemas kira-kira 30 minit apabila jet ski yang dinaikinya kehabisan minyak sebelum dihanyutkan sejauh tiga batu nautika dari Pantai Tengah, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa Mohd Zulkarnain Mohd Isa, 24, bagaimanapun diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai Latihan dan Operasi/Bencana APM Langkawi Leftenan (PA) Md Saifudin Saad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.05 petang sebelum sepasukan empat anggota yang bertugas di Menara Penyelamat Pantai dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa.

“Dalam operasi itu, anggota APM menggunakan sebuah bot untuk mencari kedudukan mangsa sebelum berjaya menemuinya dan menunda mangsa bersama jet ski ke pantai,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila jet ski yang dnaiki mangsa kehabisan minyak ketika hendak berpatah balik ke pantai sebelum dihanyutkan ombak ke tengah laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 8:08 PM