PENDUDUK Azmi Ismail, 49, (kanan) bersama Ahmad Othman, 60, menunjukkan kesan mendapan tanah akibat kejadian air pasang yang berlaku sebelum ini di Pantai Leman yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk di Kampung Padang Garam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PENDUDUK di sekitar Kampung Padang Garam, Kuala Kedah kini bersiap sedia untuk menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 15 Oktober ini, disebabkan kediaman mereka paling hampir dengan laut.

Bagaimanapun, mereka bimbang kerana benteng di sepanjang pesisir Pantai Leman, Alor Setar, agak rendah dan memudahkan laluan air laut untuk terus memasuki rumah penduduk.

Penduduk, Azmi Ismail, 49, berkata, fenomena itu berlaku setiap tahun pada bulan Oktober sehingga menyebabkan hampir 30 penduduk di kawasan itu sudah lali dengan keadaan terbabit dan berharap kejadian kali ini tidak seteruk sebelum ini.

Katanya, tahun lalu, ada penduduk yang mengalami kerugian selepas ikan yang dipelihara untuk pasaran terlepas apabila kawasan itu dipenuhi air laut.

“Selain itu, 75 hektar sawah milik keseluruhan penduduk juga rosak akibat kejadian itu sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak akibat bencana alam yang tidak dijangka itu.

“Disebabkan itu, kami terpaksa membuat persediaan awal untuk memastikan keselamatan keluarga kerana air pasang biasanya berlaku pada waktu malam ketika kami sedang tidur kerana kedudukan rumah kami hanya kira-kira 200 meter dari pantai,” katanya ketika ditemui di sini.

Azmi berkata, akibat kejadian itu juga, terdapat kesan hakisan di pesisir jalan pantai berkenaan hingga berlaku tanah mendap disebabkan ombak pantai yang kuat ketika menghempas pantai.

Katanya, disebabkan itu kebanyakan penduduk kini tidak tidur lena kerana bimbang fenomena itu berlaku bil-bila masa dari apa yang dijangkakan kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca dan ribut di tengah laut.

Penduduk lain, Ahmad Othman, 70, berkata, pihaknya berharap pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkaitan dapat membantu membuat pemantauan dan memindahkan mangsa sekiranya berlaku fenomena ini disebabkan ramai warga emas di kampung itu.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, penduduk terpaksa menyelamatkan diri terlebih dahulu dan tinggal di tingkat atas rumah ketika rumah dimasuki air.

“Kalau rumah itu setingkat, mereka nak lari ke mana dan terpaksa menunggu bantuan tiba. Kalau paras air tinggi, mungkin mereka mengalami kesukaran untuk keluar dari rumah berkenaan.

“Banyak perabot, tikar getah yang rosak dalam kejadian sebelum ini dan kami akan mengambil langkah berjaga-jaga selain berharap benteng di sekitar laut dapat ditinggikan pada masa akan datang supaya dapat melambatkan air laut memasuki kediaman rumah kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:08 AM