Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai supaya mengurangkan pengambilan papadom dalam makanan berikutan kandungan garam yang tinggi.

Walaupun ia dibuat menggunakan beberapa jenis tepung selain bahan penambah dan pengawet seperti bahan perisa dan pewarna tiruan, ia boleh memudaratkan kesihatan kerana kandungan garam serta pengawet lain yang tinggi di dalamnya.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, kandungan garam tinggi boleh mempengaruhi kesihatan seperti tekanan darah tinggi, meningkatkan serangan angin ahmar dan serangan jantung selain penyebab utama kematian dan keadaan hilang upaya.

Beliau berkata, ujian makmal dijalankan CAP ke atas 11 sampel papadom mendapati semua sampel terbabit mengandungi lebih daripada 1,000 miligram (mg)/100 gram (g) natrium apabila empat daripadanya mengandungi lebih daripada 2,000 mg/100g natrium.

“Sekeping papadom mempunyai berat kira-kira 13g, bayangkan jika lima keping papadom dimakan bersama setiap hidangan dan ia bermakna seseorang itu sudah mengambil kira-kira 1,300 mg natrium dalam satu hidangan.

“Jika dikira kandungan papadom terkandung dalam makanan lain, seseorang itu mungkin sudah termakan lebih 2,000 mg natrium iaitu paras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pengambilan harian,” katanya dalam sidang media di Pejabat CAP di Georgetown, hari ini.

Papadom adalah kerepek rangup kerap dihidangkan bersama hidangan masyarakat India dan boleh didapati di restoran nasi kandar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan purata orang dewasa di Malaysia memakan 7.15g garam sehari iaitu kadar yang melebihi paras ditetapkan WHO dan dianggarkan seorang dalam tiga orang dewasa mengalami masalah tekanan tinggi manakala seorang dalam lima orang dewasa mungkin sudah mengalami tekanan darah tinggi, namun masih belum dikesan.

Beliau berkata, kebanyakan surirumah di India lebih gemar menggoreng daripada memanggang, namun minyak dimakan bersama papadom boleh menimbulkan masalah kesihatan seperti aterosklerosis dan lain-lain penyakit kardiovaskular.

Katanya, kajian menunjukkan apabila papadom dipanggang atau digoreng, acryamide yang berkemungkinan karsinogen dan bahan penyebab kanser akan terbentuk akibat kandungan garam alkalinya iaitu natrium benzoat.

“Cara menghasilkan papadam amat membimbangkan kerana biasanya ia dihampar dan dijemur di tempat terbuka serta terdedah kepada bahan cemar udara selain jenis mikroorganisme yang akan menambah pencemarannya ketika dijemur bagi dikeringkan.

“Justeru, CAP menggesa KKM supaya membatasi kandungan garam dalam papadom yang diedar di pasaran manakala pengguna pula perlu mengurangkan makan papadom,” katanya.

Saintis percaya garam boleh menaikkan tekanan darah kerana natriumnya menyerap air lalu menyebabkan bendungan atau retensi air yang mengembangkan darah di dalam arteri sebelum mengenakan tekanan ke atas dinding saluran darah sehingga menyebabkan tekanan darah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:27 PM
SM Mohamed Idris menunjukkan papadom atau kerepek rangup yang didapati mengandungi garam berlebihan dalam sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.