KEADAAN banjir kilat yang berlaku di Kampung Delek Kiri, Klang, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Ruwaida Md Zain


BEBERAPA lokasi di Bandar Klang dilanda banjir kilat sejak jam 4 petang hari ini selepas dilanda hujan dalam tempoh singkat dan fenomena air pasang besar.

Bagaimanapun setakat kini, belum ada mangsa ditempatkan di pusat pemindahan walaupun ada limpahan air yang memasuki kawasan perumahan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Penguasa Bomba Mohd Nurizawan Basri berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Johan Setia, Kampung Jalan Kebun serta Jalan Tengku Kelana.

“Banjir kilat di Jalan Jepun, Kampung Delek Kiri berlaku jam 5 petang tadi disebabkan oleh paras air parit melimpah ke atas jalan dan kawasan penempatan.

“Beberapa rumah penduduk dimasuki air, bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka.

“Pasukan bomba akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku,” katanya

Sementara itu, di Kampung Johan Setia dan Kampung Jalan Kebun pula, banjir kilat berlaku jam 4 petang sehingga kini.

“Di Kampung Johan Setia, ketinggian air dicatatkan 100 milimeter (mm) hingga 300 mm, sementara ketinggian air pada paras 100 mm hingga 200 mm di Kampung Jalan Kebun.

“Status aras air sungai semasa iaitu di Sungai Tinggi juga tinggi,” katanya.

Selain tiga kampung terbabit, katanya, banjir kilat turut melanda sekitar Taman Bukit Kemuning, Kampung Jawa serta Taman Petaling Indah.

“Di Taman Bukit Kemuning, status aras air semasa sungai iaitu Sungai Rasau adalah tinggi dengan ketinggian 100 mm hingga 200 mm.

“Di sekitar, Kampung Batu 1-2 Kampung Jawa, ketinggian air adalah 100 mm hingga 300 mm di mana paras Sungai Jati tinggi, namun air kini semakin surut.

“Bagi kawasan Taman Petaling Indah pula, ketinggian air juga sehingga 300 mm dengan paras air Sungai Teluk Gadong tinggi tetapi air surut jam 6.30 petang tadi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 11:37 PM