ANGGOTA bomba memadam kebakaran treler dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


TEMPOH tahanan reman terhadap pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan lima orang rentung di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora, dekat Kuala Kangsar, Sabtu lalu, disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes itu.

Reman disambung selepas tempoh reman kali pertama selama dua hari ke atas pemandu berusia 41 tahun itu tamat hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, polis menahan suspek di lokasi kejadian pada petang hari kejadian sebelum perintah reman diperoleh selama dua hari pada keesokannya.

Katanya, tempoh reman suspek bagaimanapun dilanjut hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sementara itu beliau berkata, laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keempat-empat waris yang mendakwa ahli keluarga dan mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang rentung dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, untuk dianalisa.

“Laporan DNA itu dijangka diperolehi dalam tempoh dua minggu bergantung kepada siasatan jabatan berkenaan,” katanya ketika ketika dihubungi di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta Kia Forte dinaiki kelima-lima mangsa sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:35 PM