Nurulhidayah keluar dari di Ibu Pejabat SPRM selepas memberi keterangan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail dan Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


LEBIH enam jam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih belum selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana membabitkan sebuah yayasan, hari ini.

Proses merakam keterangan Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dimulakan kira-kira jam 10 pagi tadi selepas beliau diarahkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya minggu lalu.

Selain Ahmad Zahid, SPRM turut mengambil keterangan anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid serta adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi berhubung kes sama, hari ini.

Ketiga-tiga mereka hadir dengan tiga kenderaan berasingan ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Setakat jam 3.30 petang tadi, masih belum ada sebarang tanda ketiga-tiga mereka akan selesai memberi keterangan.

Nurulhidayah bagaimanapun sudah dilihat keluar dari Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 4.52 petang.

Beliau memaklumkan hadir untuk menemani ayahnya dan bukan dipanggil beri keterangan.

“Tidak, saya teman dia (Ahmad Zahid) sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, sumber SPRM memberitahu sesi merakam keterangan ke atas Ahmad Zahid akan disambung esok.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna putih tiba di perkarangan lobi ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.20 pagi tadi, diikuti dengan kenderaan Nurulhidayah dan Mohamad Nasaee.

Ahmad Zahid dilihat memakai baju batik berwarna hijau buah zaitun dan berseluar gelap manakala anaknya memakai baju dan tudung hitam dan berjaket hijau.

Ini kali ketiga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 5:20 PM