AHMAD Zahid (kanan) melambai tangan kepada media sambil diperhatikan Nurulhidayah sejurus keluar dari ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail dan Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


SELEPAS hampir lapan jam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi keterangan berhubung siasatan penyelewengan dana sebuah yayasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Proses merakam keterangan Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri bermula jam 10 pagi sebelum beliau yang diiringi beberapa individu beredar dari ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, jam 5.40 petang.

Difahamkan, SPRM turut mengambil keterangan anak perempuan beliau, Datuk Nurulhidayah dan adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi berhubung kes sama, hari ini.

Nurulhidayah dilihat terlebih dahulu meninggalkan ibu pejabat SPRM dengan menaiki pacuan empat roda berwarna hitam, jam 4.52 petang.

Hampir 50 pengamal media yang berada di lokasi sejak awal pagi terpaksa menunggu hampir sejam sebelum Ahmad Zahid muncul, namun beliau enggan ditemubual.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula ke SPRM, Ahmad Zahid tidak mengesahkan perkara itu sebaliknya beliau akan menetapkan tarikh dan waktu sekiranya dipanggil semula.

“Saya akan kembali semula pada tarikh dan masa saya sendiri,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid, 65, yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus berwarna putih tiba di perkarangan lobi ibu pejabat SPRM itu jam 9.20 pagi.

Beliau dilihat memakai baju batik berwarna hijau buah zaitun dan berseluar gelap, manakala Nurulhidayah memakai jaket hijau dan tudung hitam.

Bagaimanapun, media tidak melihat kelibat Mohamad Nasaee bersama Ahmad Zahid atau Nurulhidayah.

Ini kali ketiga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 Julai serta 3 Julai lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Nurulhidayah dipanggil ke SPRM

Zahid dipanggil kali ketiga ke SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 6:53 PM