KEADAAN van polis yang terbabas di KM428.3 Lebuhraya PLUS dekat Bukit Beruntung, hari ini.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


TIGA anggota polis parah, empat cedera ringan manakala empat tahanan cedera ringan apabila sebuah van polis terbabas di KM428.3 Lebuhraya PLUS dekat Bukit Beruntung, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, van yang membawa empat tahanan berkenaan dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, van dinaiki tujuh anggota polis dan empat tahanan itu terbabas sendiri dipercayai akibat jalan licin di tempat kejadian.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah van polis yang membawa tujuh anggota polis pengiring kepada empat tahanan yang dalam perjalanan dari Perlis ke Bukit Aman.

“Sebaik tiba di lokasi, van terbabit terbabas sendiri akibat hujan lebat. Ketika kejadian van itu diiring tiga kereta polis jenis Proton Preve, namun ketiga-tiganya tidak terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 9:45 PM