KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

PEKERJA restoran makanan segera di Bahau maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 6 Jalan Bahau - Tampin, dekat Jempol, semalam.

Pada kejadian 7.15 malam itu, Siti Norfatimah Borhanuidin, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Bukit Rokan Utara, Gemencheh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai melanggar seekor lembu.

“Siasatan mendapati mangsa cuba mengelak daripada melanggar lembu terbabit, namun gagal.

“Akibatnya, motosikal mangsa terbabas ke kanan jalan dan mangsa yang parah, terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada NSTP.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, hujan renyai dan jalan basah.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 7:02 PM