BANJIR di Kampung Periuk, Kampung Baru.
Wartawan NSTP

BEBERAPA laluan dan kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat hampir dua jam, sejak 3.20 petang.

Antara laluan yang terjejas adalah di Persiaran Ampang Hilir; Jalan Raja Chulan dan Bulatan Pahang di Jalan Tun Razak.

Takungan air akibat banjir kilat di lokasi terbabit pada mulanya mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas, namun keadaan itu beransur pulih sebaik hujan lebat berhenti kira-kira 5 petang.

Selain itu, empat kawasan penempatan iaitu Kampung Periuk, Kampung Baru; Taman Eastern, Jalan Ipoh; Lorong Kiri 15 Jalan Datuk Keramat dan Kampung Chubadak Tambahan, Sentul; dilaporkan terjejas akibat banjir kilat.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata, pihaknya menerusi Skuad Penyelamat DBKL kini melakukan pemantauan di lokasi terjejas.

“Kita menerima tujuh laporan kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara dan melakukan pemantauan dengan bantuan beberapa agensi lain.

“Ada kawasan yang dinaiki air hampir setengah meter namun buat masa ini keadaan masih terkawal. Tiada sebarang pemindahan penduduk dilakukan. Keadaan kini beransur pulih,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.


POKOK tumbang di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang. FOTO Ihsan DBKL

Menurut beliau, selain banjir kilat, pihaknya turut menerima satu laporan kejadian pokok tumbang di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.

“Kita mendapati sebatang pokok tumbang di dalam kawasan perkuburan berkenaan dan kerja pembersihan dilakukan oleh Unit Pohon Rendang DBKL dengan dibantu anggota Skuad Penyelamat DBKL.

“Tiada sebarang kerosakan besar atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Sementara itu, pihak DBKL tidak menerima laporan banjir kilat melimpah masuk ke dalam Masjid Jamek seperti yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 8:09 PM